Pesanan Along Buat Alang (Ana) Yang Akan Bernikah Esok

Standard

Assalamualaikum.

Dari pagi tadi saya sangka hari ini hari Rabu, rupa-rupanya dah hari Khamis!

Ana, esok pada waktu-waktu macamni insyaAllah kau dah selamat dinikahkan. Dah selamat jadi isteri orang, dah selamat jadi milik orang secara sah. InsyaAllah akan sempurna separuh agamamu sebagaimana sabda Nabi s.a.w. dari Anas bin Malik, “Jika seorang hamba Allah itu menikah (kahwin), maka telah sempurnalah setengah (separuh) agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah yang lain.” (Riwayat al-Hakim dan at-Thabrani). Esok juga pada detik-detik ini selesai sudah tanggungjawab mak kita terhadap dirimu. Tanggungjawab mendidik dan menjagamu kini beralih kepada suamimu. Lelaki bertuah pilihan hatimu, yang telah kami seluruh ahli keluargamu redha dan berbesar hati menerima dia menjadi sebahagian dari kita semua.

Maka, mulai saat itu taatilah dia sepenuh jiwamu. Cintailah dia dengan segenap hatimu. Jagalah maruahnya sebaiknya dengan memelihara maruah dirimu sendiri. Sayangi seluruh ahli keluarganya sebagaimana kau menyayangi kami, ahli keluargamu. Patuhi segala arahannya selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Allah.

Ketahuilah wahai adikku, selepas sahnya kamu menjadi isterinya, keutamaanmu adalah dia. Bukan lagi mak kita. Manakala bagi dirinya, keutamaannya masih lagi ibunya itu. Jangan dikesalkan itu. Allah Maha Adil. Hati perempuan itu lembut, kita tetap akan sayang mak kita walau suami keutamaan kita. Tapi lelaki hatinya keras, mungkin sebab itu Allah tetapkan ibunya sebagai keutamaan walaupun telah beristeri kerana khuatir ibu akan terabai dek terlalu asyik mengulit isteri. Wallahualam.

Aduhai adikku sayang, hanya Allah yang mengetahui betapa hati ini lembik macam jelly bila mengenangkan esok diri ini berada jauh di perantauan dan tak dapat menyaksikan detik bersejarah dirimu diijab kabulkan, tak dapat menyibukkan diri pada hari besarmu, menyaksikan kau disolek cantik dan bersanding atas pelamin indah, memberi restu dengan mencecah inai dan menabur bunga rampai. Tapi tetap kukentalkan hati, kujemur dalam terik panas cuaca Sudan sampai kering kerana aku telah redha akan ketentuanNya, kerana aku kini seorang isteri dan suamiku di sini, dia kini keutamaanku. Semakin kau harungi alam barumu nanti, kau pasti akan faham hakikat ini, adikku!

Di kejauhan ini, dalam linangan air mata ini, aku memberi doa restuku untukmu dan dia bakal suamimu. Doaku, majlis hari besarmu indah. Seindah impianmu. Mudah-mudahan cinta antara keduamu berkekalan hingga ke syurga, hidupmu bertambah berkat, rezeki akan mencurah-curah dan melimpah ruah dan lekas dikurniakan cahayamata.

Baraka Allahu Lakuma wa baraka alikuma. Wa jamaah baina kuma fee khair.

4 responses »

    • mula-mula aku ingatkan aku ok, tapi semalam bila teringat adik aku akan nikah hari ni tibe-tibe rasa sayu pulak. Tadi aku call, alhamdulillah dah selamat nikah. Harap-harap majlis esok semuanya ok.

      Adik kau nikah bile?

  1. aku rase sayuuuu.. hehe.. mungkin mcm ala2 tak dpt terima kenyataan lah. tp tak pe, lama2 okey kot.. adik aku nikah bln11 ni, insyaAllah..

    • sama macam aku la masa mula-mula dia cakap nak kawen. Agaknya sebab kita anak sulung, adik-adik ape-apehal bagitau kita dulu. Pasni dah kawen ape-apehal dia cari suami dia dulu. Memang elok diorang lekas-lekas kawen, tapi kita sedih sebab kita tau relationship kita dengan diorang takkan sama macam dulu lagi. Tapi lama-lama nanti kita akan biasa terima perubahan. Doakan yang baik-baik je untuk mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s